Assalamualaikum w.b.t.
Awan putih berlangitkan sebiru warna, menambahkan keindahan alam
semulajadi. Kecantikan alam yang tiada taranya menyaksikan pelbagai
acara pementasan hidup yang beraneka gaya. Maha suci Allah yang
menciptakan manusia yang berpasangan begitu juga makhluk Allah yang lain
turut memenuhi pelusuk bumi.
Alhamdulillah, kita masih bernyawa menunaikan segala perintahnya,
akur dengan ketentuan illahi walaupun penuh dengan pancaroba. Seringkali
hidup dicabar dan diuji namun terus berdiri gagah dengan pertolongan
Allah SWT.
Mengharungi hari demi hari membuat kita tidak terlepas dari melakukan
dosa. Dosa kecil mahupun besar terpendam dilubuk hati dan adakalanya
membentuk pelbagai rasa. Pernahkah kita memohon keampunan dariNya? Saya
yakin kita sebagai hamba diberikan naluri untuk mengetahui akan
dosa-dosa yang dilakukan walaupun tanpa sedar.
Adakah kita insaf?
Sekiranya keinsafan masih menebal pada diri, sebenarnya kita masih
lagi menyirami iman kita dengan baja keampunan dari Allah SWT. Jika
tidak, jangan dibiarkan dosa-dosa itu menjadi sebati dan kekal selamanya
pada hati nurani kerana dari situlah 'air muka' kita akan terbentuk
dengan perkara-perkara yang sebenarnya datang dari hati kita sendiri.
Oleh itu, jagalah hati dan kasihanilah kerana dia juga makhluk Allah
seperti kita. Tugasnya sangat berat untuk mengawal manusia dari
melakukan dosa. Kalau hati kita baik, baiklah kita sebagai khalifah
Allah dimuka bumi. Jika tidak, hati kita akan melakukan sesuatu yang
tidak mungkin dijangka.
Tahap iman dalam diri.
Disaat dan ketika ini, ada dikalangan kita mengatakan bahawa apabila
seseorang itu dipenuhi dengan iman dan taqwa pastinya berpegang teguh
dengan agamanya. Mana mungkin manusia yang bersifat baharu ini tidak
akan diuji walaupun hidupnya diselubungi dengan kemewahan melimpah ruah.
Ada juga menyatakan yang menutup aurat itu hidupnya akan menjadi
kebal dengan nafsu kerana badannya dilitupi dan tidak akan mudah
melakukan dosa berbanding mereka yang tidak berhijab atau tidak menutup
aurat.
Dari pandangan saya, bukan mudah untuk memelihara iman, kerana iman
kita ini ibarat daun-daun yang berguguran, apabila ia dipukul angin ia
akan berterbangan mengikut arus angin. Sesungguhnya, iman itu tidak
bersifat kekal dan sentiasa berubah-ubah.
Ada suatu masa kita rasakan hidup ini sangat dekat dengan Allah SWT
dan adakalanya tidak. Itulah manusia yang Allah ciptakan, hatinya
sentiasa bermain-main dengan perasaan. Kadangkala dengan iman kita
terasa indah dan lama kelamaan iman itu semakin hilang dan menjadikan
kita manusia yang alpa kepada Allah SWT. Ini kerana keteguhan kita
terhadap iman masih diawang-awangan dan menganggap tiada kepentingan
dalam mengekalkan iman di dalam diri.
Setiap saat diuji.
Tidak akan senang manusia itu kalau hidup tidak pernah diuji.
Sekiranya sentiasa aman dan bahagia kemungkinan kitaran kehidupan kita
ini akan kehilangan sesuatu yang dikatakan "ujian dan dugaan".
Ya, saat kita diuji adakah kita sedar akan ujian diberikan? Manusia
sentiasa leka dengan kesibukan dunia sehingga lupa kepentingan akhirat
yang perlu diutamakan. Apa yang mereka ingat adalah nikmat dunia.
Sehingga manusia menjadikan dunia itu sebagai tongkat untuk berdiri
sedangkan yang menjadikan mereka berdiri dengan gagah itu adalah dari
Allah SWT. Biarlah diri kita diuji, Allah mahu membersihkan kita dari
segala kekotoran yang menyelubungi dari segenap sudut pada anggota badan
kita iaitu hati.
Serah diri padaNya.
Saat menadah tangan pohonlah keampunan kepada Allah, berdoalah dengan
penuh pengharapan agar kita diampunkan dari segala dosa-dosa yang lalu.
Biarlah air mata sepi menjadi saksi tanda kita takut kepadaNya.
Beristighfarlah, kerana banyak hikmah terkandung disebalik makna-makna
yang diucapkan.
Yakin dan percaya dengan kewujudan dosa dan pahala, syurga dan
neraka. Jangan lalai mahupun leka kerana kematian sentiasa menghampiri.
Beriman kepada Allah SWT adalah satu landasan yang merupakan penjuru
disetiap kehidupan. Walaupun iman tidak boleh diwarisi tapi boleh
menjadi benteng dalam menghadapi pelbagai keresahan hidup.
Berdoalah kerana dengan doa, Allah akan mendengar segala keluhan kita
kerana tuhan tahu apabila kita melakukan dosa kita akan kembali
mengadapNya. Perbaikilah diri dengan kesalahan serta kesilapan yang kita
lakukan. Perelokkan nawaitu kita untuk kembali bertaubat dan bersujud
padaNya.
Sucikan hati dan rawatlah jiwa dengan ayat-ayat Allah iaitu al-Quran
yang merupakan surat cinta yang diutuskan kepada hamba-hambanya.
Cinta Allah akan kekal dihati, kewujudanNya dapat dirasai, hadirNya bagaikan merentap sanubari.
"Ya Allah, aku bersedia menerima segala ujian dan dugaan-MU".
Sumber:1luvislam.com
No comments:
Post a Comment